Oleh Muhammad Ilyasaa Bin Abdul Rahman dalam Berita Teknologi

>> Mengatasi Acrophobia, takut kepada ketinggian ? <<

Adakah anda salah seorang yang takutkan ketinggian? Jika Ya, anda tidak berkeseorangan, malahan acrophobia adalah salah satu jenis fobia yang kebiasaanya ada pada ramai orang di dunia ini (Kucing kucing saya pun takutkan ketinggian). Pada tahun ini, satu pasukan penyelidik di Eropah telah membuat penyelidikan dan menyimpulkan cara untuk membantu orang mengatasi masalah takut kepada ketinggian. Dengan cara yang telah disimpulkan itu, anda tidak perlu memanjat sebarang bangunan, duduk di atas bumbung rumah atau berjumpa dengan ahli terapi di mana-mana hospital pakar (kebiasaanya memakan kos rawatan yang tinggi).

>> saksikan video di bawah <<

>> Apakah perasaan anda melihat video di atas ? <<

Jika anda merasa gayat yang terlampau semasa melihat video, kemungkinan besar anda mengalami acrophobia. Para penyelidik tersebut telah membuat kajian terhadap 100 orang sukarelawan, mereka kesemuanya telah didiagnosis secara klinikal dan positif mempunyai acrophobia tetapi tidak menerima atau meneruskan rawatan di klinik atau hospital untuk menyembuhkan fobia mereka. Para penyelidik kemudian memecahkan kumpulan sukarelawan ini menjadi dua kumpulan kecil. Kumpulan pertama iaitu seramai 51 orang sukarelawan yang bertindak sebagai kumpulan kawalan atau pemboleh ubah dikawal dan tidak menjalani rawatan realiti maya (VR, Virtual Reality), manakala 49 orang sukarelawan yang lain mempunyai peluang menjalani rawatan realiti maya selama dua minggu. Para penyelidik tersebut kemudian menerbitkan hasil kajian mereka dalam jurnal The Lancet Psychiatry pada hari Rabu 11 Julai yang lalu.

Gambar menunjukkan pengguna alat realiti maya sedang melalui kawasan tinggi dengan menggunakan alat realiti maya

>> Kaedah Realiti Maya yang digunakan <<

Sepanjang program rawatan realiti maya untuk mengkaji kesan terhadap acrophobia, sukarelawan menggunakan alat realiti maya untuk bertemu dengan “jurulatih maya” selama enam sesi, setiap sesi berlangsung kira-kira selama 30 minit. Jurulatih yang telah diprogram secara automatik ini bermula dengan bertanya kepada sukarelawan tentang ketakutan mereka terhadap ketinggian dan memberitahu mereka tentang fobia mereka. Seterusnya, jurulatih akan membimbing sukarelawan ini melalui siri demi siri senario maya dalam usaha untuk membantu mereka mengatasi fobia mereka. Antara senario maya yang dilalui sukarelawan adalah seperti menyelamatkan seekor kucing di atas pokok dan membaling sesuatu di pinggir tempat yang tinggi. Pada akhir setiap sesi, jurulatih maya akan bertanya kepada setiap sukarelawan bagaimana perasaan mereka. Jurulatih maya juga menggalakkan sukarelawan supaya berhadapan dengan ketinggian “dunia nyata” di antara sesi.

Alat realiti maya boleh diprogramkan untuk menghasilkan simulasi yang dikehendaki.

>> Keluar dari ketakutan fobia anda <<

Pada awal sesi dan pada dua minggu kemudian (di akhir program rawatan realiti maya), dan sekali lagi pada dua minggu selepas itu, kesemua sukarelawan telah diminta untuk mengisi borang soal selidik tentang tahap ketakutan mereka kepada ketinggian. Di akhir program rawatan realiti maya, hasil jawapan soal selidik menunjukkan 34 daripada 49 sukarelawan dalam kumpulan yang telah menjalani rawatan realiti maya menunjukkan tahap ketakutan terhadap ketinggian menurun. Mereka yang berada dalam kumpulan kawalan atau pemboleh ubah malar pula mempunyai tahap ketakutan kepada ketinggian yang sama seperti pada awal sesi kajian.

Fobia adalah ketakutan atau kebencian yang melampau atau tidak rasional terhadap sesuatu.

>> Apakah masa depan penyakit fobia dengan adanya teknologi realiti maya ini ? <<

Terdapat banyak contoh lain atau penyelidikan lain yang boleh dilakukan untuk menunjukkan bahawa teknologi realiti maya ini dapat membantu orang-orang dengan penyakit fobia ini malahan lebih jauh lagi dan lebih baik untuk dapat membantu gangguan kesihatan mental. Walau bagaimanapun, penyelidikan di atas adalah antara percubaan untuk menunjukkan bahawa rawatan teknologi realiti maya boleh menghasilkan hasil yang diingini dan perkembangan yang positif.

TINGGALKAN JAWAPAN BALAS ANDA

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini