Oleh Muhammad Ilyasaa Bin Abdul Rahman dalam Berita Teknologi

>> Alat untuk menyelidik organisma marin laut dalam <<

Mudah bagi para penyelidik dalam mengumpul sampel untuk mengkaji tentang ikan dan krustasea (haiwan kecil yang mempunyai cangkerang luar yang keras seperti ketam dan udang). Antara kaedahnya adalah dengan menarik jaring di belakang bot dan sekaligus akan menangkap sampel hidupan marin tersebut. Tetapi tidaklah begitu mudah bagi para penyelidik dalam mengumpul organisma laut dalam yang kecil dan lembut seperti sotong dan obor obor. Penggunaan jaring tidaklah membantu tetapi lebih teruk dapat menghancurkan anggota organisma laut dalam yang kecil dan halus tersebut.

>> INOVASI yang tercetus dari pemikiran kreatif <<

Beberapa jurutera mekanikal dari Harvard Microrobotics Laboratory, Zhi Ern Teoh serta rakan-rakannya telah memikirkan cara yang lebih mesra dan efektif yang membolehkan para saintis untuk mengumpul sampel sampel organisma yang sukar untuk dicari dan ditangkap tanpa merosakkan anggota organisma tersebut. Mereka menerbitkan penyelidikan mereka di Science Robotics pada hari Rabu 18 Julai 2018.

Gambar menunjukkan RAD sampler sedang beraksi.

>> Kaedah yang biasanya digunakan untuk mengambil spesimen <<

Pada masa ini, para penyelidik yang ingin mengumpul kehidupan laut yang kecil dan lembut ini kebiasaanya menggunakan dua cara yang popular iaitu detritus sampler dan suction sampler. Detritus sampler menggunakan alat berbentuk tiub yang mempunyai pintu pada kedua-dua hujungnya. Untuk menangkap spesimen dengan alat ini, pengendali mesti meluncur dalam keadaan pintu tiub terbuka dan secara manual meletakkan tiub ke atas spesimen tersebut lalu dengan cepat menutup pintu sebelum spesimen melarikan diri. Kekurangan kaedah ini adalah ianya memerlukan pengendali untuk mempunyai kemahiran menangkap terlebih dahulu. Suction sampler pula adalah kaedah yang lebih mudah menggunakan sedutan untuk menarik spesimen melalui tiub ke dalam bekas simpanan. Kaedah ini kadang kala dapat merosakkan organisma marin yang bersifat kecil dan lembut.

Gambar menunjukkan suction sampler.

Gambar menunjukkan detritus sampler.

>> Rad sampler, satu pendekatan yang lebih mesra hidupan laut yang bersifat kecil dan lembut <<

Bagi mendapatkan ilham untuk mencipta alat yang mudah digunakan dan tidak mungkin membahayakan spesimen, penyelidik melihat kepada seni origami iaitu seni kertas lipat yang amat sinonim dengan negara Jepun. Akhirnya, penyelidik muncul dengan idea alat yang badannya terbuat daripada photopolymer bercetak 3D dengan bentuk bermodelkan dodecahedron.

Alat yang dinamakan sebagai RAD sampler ini telah diuji sehingga kedalaman 700 meter, walau bagaimanapun ianya mampu pergi sejauh 11 kilometer ke dalam laut. Sebaik sahaja RAD Sampler di dalam keadaan terbuka dan berada di kedudukan betul-betul di belakang spesimen, pengendali hanya perlu menekan satu butang sahaja dan 12 sisi dodecahedron terus melipat di sekeliling spesimen dan akhirnya berbentuk seperti pokeball untuk memerangkap spesimen. Penyelidik juga berharap dapat menambah baik RAD sampler dengan memasukkan fungsi kamera dan sensor sentuhan.

>> Mana tahu konsep rad berpotensi untuk digunakan dalam misi ke ruang angkasa juga satu hari nanti !!! <<

TINGGALKAN JAWAPAN BALAS ANDA

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini