Oleh Muhammad Ilyasaa Bin Abdul Rahman dalam Berita Teknologi

>> Kulit Elektronik MEMBOLEHKAN PENGGUNA Merasakan Sakit Melalui bahagian badan tiruan mereka <<

Marcapada, memakai anggota prostetik (bahagian tubuh tiruan seperti tangan atau kaki palsu) bukanlah sesuatu yang baru dan pelik lagi. Mudah untuk kita terserempak dengan pengguna anggota prostetik. Malahan, sudah ada teknologi untuk mencetak anggota palsu ini dengan mudah dan cepat seperti teknologi cetakan 3D. Jika anda mengikuti teknologi terkini, dunia sekarang sudah mempunyai teknologi anggota prostetik yang dapat dikawal hanya dengan menggunakan minda sahaja, yang dapat meramal pergerakan lalu melancarkan pergerakan anggota prostetik, dan yang dicipta bersesuaian dengan saiz anggota pengguna. Terima kasih kepada teknologi cetakan 3D yang sangat membantu untuk mempercepatkan perkembangan anggota prostetik ini.

>> ruang penambahbaikkan ke atas anggota prostetik <<

Teknologi anggota prostetik sekarang boleh dikatakan terkehadapan dan amat hebat. Walaubagaimanapun, masih terdapat ruang penambahbaikkan ke atas anggota prostetik ini seperti deria sentuhan. Anggota prostetik dengan teknologi sedia ada masih lagi tidak mampu untuk memberi maklum balas tentang apa yang disentuh kepada si pengguna seperti suhu dan tekstur sesuatu objek yang disentuh. Baru baru ini, para penyelidik di Universiti Johns Hopkins telah mencipta dermis (lapisan kulit yang membolehkan seseorang untuk merasa) elektronik atau e-dermis. Apabila diletakkan di atas anggota prostetik, kulit buatan ini membolehkan pengguna merasakan kesakitan pada anggota badan mereka. Para penyelidik tersebut telah menerbitkan kajian mereka dalam jurnal Science Robotics hari rabu 20 Jun 2018 yang lepas.

Tangan bionik dengan teknologi terkini dan mempunyai pergerakan yang sangat lancar, namun kekurangan deria untuk merasa.

Untuk mencipta kulit elektronik yang berfungsi seperti kulit manusia ini, para penyelidik bermula dengan menganalisa rahsia di sebalik struktur kulit manusia. Sains merungkaikan bahawa kulit kita mengandungi rangkaian reseptor atau sel khusus yang bertindak untuk menyampaikan maklumat ke otak, memaklumkan kepada kita jika apa yang kita sentuh adalah tajam atau tumpul, panas atau sejuk, keras atau lembut, dan sebagainya.

>> Saksikan video di bawah oleh penyelidik Hopkins <<

Para penyelidik mereka cipta e-dermis mereka untuk menghantar dua maklumat tertentu iaitu kelengkungan objek dan ketajamannya. Penyelidik membina e-dermis mereka daripada gabungan fabrik dan getah dan mengandungi lapisan sensor untuk meniru fungsi rangkaian reseptor dalam kulit manusia. Sensor atau reseptor-reseptor buatan ini dapat merasai objek sama ada ianya tajam dan kemudian menghantar maklumat tersebut ke saraf yang berkait pada anggota pengguna melalui kabel.

>> kulit elektronik membolehkan pengguna merasakan anggota prostetiknya hidup <<

Kulit elektronik atau e-dermis boleh membuatkan pengguna merasakan anggota prostetiknya terasa hidup sekaligus dapat melindungi anggota prostetik daripada kerosakan fizikal. Walaupun teknologi e-dermis setakat ini hanya mampu memberi indikator tajam atau tidak tajam dan mungkin merasa lekukan lekukan pada objek, namun ianya mampu memberi perasaan yang sangat mengujakan kepada si pengguna. Akhirnya, e-dermis juga membolehkan robot untuk mempunyai keupayaan “merasakan” sesuatu seperti manusia.

>> Mungkin suatu hari nanti, robot boleh membedah manusia dengan lebih efektif disebabkan sudah mempunyai deria rasa <<

Baca lagi tentang anggota prostetik di Eksperimen Mata Bionik – Satu Langkah Bagi Membolehkan Si Buta Melihat

TINGGALKAN JAWAPAN BALAS ANDA

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini