Oleh Ilyasaa dalam Tutorial Raspberry Pi, Arduino
Tahap Kesukaran : Baru Mula Belajar

>> Pengenalan <<

Perisian Fritzing lahir daripada inisiatif atau gerakan open-source yang mana hasilnya menjadikan pembelajaran elektronik kini kian mampu dipelajari oleh sesiapa sahaja (di mana 15 tahun lepas, mungkin pembelajaran elektronik terlalu khusus kepada penuntut universiti dan jurutera sahaja). Dalam kata mudahnya, Perisian Fritzing adalah percuma untuk sesiapa sahaja. Perisian Fritzing boleh dimuat turun dari laman sesawang mereka.

Perisian Fritzing telah mewujudkan satu komuniti atau ekosistem kreatif yang membolehkan pengguna atau pelajar untuk mendokumentasikan prototaip mereka dengan lebih kreatif serta berkongsi dengan orang lain di samping mewujudkan satu komuniti. Perisian Fritzing juga boleh digunakan untuk memudahkan para guru mengajar elektronik di dalam bilik darjah. Perisian Fritzing terkenal dengan lukisan komponen breadboard nya kerana ianya mampu menonjolkan rupa sebenar komponen komponen elektronik yang digunakan.

>> Cara Mudah Membuat Model Komponen Fritzing <<

Kali ini saya akan menyentuh bagaimana untuk membuat model komponen Fritzing dengan cara ringkas yang mudah. Untuk menyiapakan model komponen Fritzing yang terperinci memerlukan perincian dan langkah yang lebih rumit, di mana tidak dihuraikan di dalam penulisan kali ini.

Model model yang sudah terdapat di dalam perisian Fritzing sudah banyak, walau bagaimanapun kita tidak dapat lari untuk menggunakan model yang tidak terdapat di dalam perisian Fritzing mahupun melalui carian di Google. Oleh itu kita terpaksa melukis atau memproses model itu sendiri dan membawanya masuk ke dalam perisian Frtizing untuk digunakan.

>> cari atau lakarkan gambar model <<

Kaedah yang paling senang adalah membuat carian di Google atau menangkap gambar pandangan atas komponen yang ingin anda gunakan. Sebagai contoh gambar di bawah adalah hasil carian di Google.

Kaedah kedua adalah dengan melukis gambar model anda sendiri menggunakan perisian melukis seperti perisian Paint. Kaedah melukis sendiri ini bagi saya adalah lebih memuaskan.

Tidak kira sama ada anda menggunakan kaedah carian di Google atau lakaran sendiri, yang paling penting adalah saiz gambar tersebut mestilah bersaiz besar. Ini memudahkan proses penukaran gambar ke format vektor kelak.

>> dapatkan perisian inkscape <<

Sebagaimana perisian Fritzing, perisian Inkscape juga adalah perisian yang percuma yang digerakan oleh inisiatif komuniti open-source. Perisian Inkscape adalah editor grafik yang mana mempunyai fungsi fungsi yang lebih padat dan hebat berbanding perisian editor grafik seperti Paint. Untuk memproses model Fritzing, kita memerlukan perisian yang lebih hebat seperti Inkscape yang mana mampu untuk memproses gambar menjadi format vektor.

Perisian Inkscape boleh didapati secara percuma di laman sesawang nya. Fail pemasangannya agak besar dan memerlukan sedikit masa untuk dimuat turun, jadi harap bersabar ketika memuat turun fail ini.

Selepas siap memuat turun fail pemasangannya, anda perlu memasangnya pada sistem operasi Window anda. Pemasangannya mudah, hanya perlu mengikut arahannya seperti biasa. Siap proses pemasangannya, anda boleh membuka perisian Inkscape tersebut. Paparan perisian Inkscape adalah seperti gambar di bawah.

Ingat lagi tentang gambar yang telah dimuat turun dari Google atau dilakarkan anda tadi? Sekarang kita akan membawa masuk gambar tersebut ke dalam perisian Inkscape melalui File -> Import…

Pilih gambar yang telah dimuat turun dari Google atau dilakarkan anda tadi dan tekan butang Open.

Di bahagian ini, kebiasaanya saya tidak akan mengubah apa apa. Saya meneruskan langkah ini dengan menekan butang OK.

Kini gambar anda sudah berjaya dibawa masuk ke dalam perisian Inkscape dan tersedia di paparan Inkscape.

Tetingkap XML Editor merupakan antara tetingkap yang terpenting di dalam langkah untuk menyiapkan model Fritzing. Gambar (dalam format jpeg, png atau lain lain) yang dibawa masuk tadi , perlu ditukar ke format vektor (.svg). Pada tetingkap XML Editor, gambar anda adalah <svg:image id=”imageXX”>. Yang mana XX adalah nombor yang akan dihasilkan secara automatik.

Kita akan memulakan proses untuk menukarkan gambar ke format vektor menggunakan fungsi Trace Bitmap…

Menggunakan tetapan asal, tekan butang Update. Perhatikan gambar yang dihasilkan adalah sangat tidak memuaskan.

Kebiasaanya, saya akan bermain dengan empat tetapan iaitu Colors, Smooth, Remove background dan Scans. Antara keempat empat tetapan ini, tetapan Scans lah yang paling penting. Pemilihan nombor Scans yang terlalu rendah akan menghasilkan gambar yang kurang terperinci manakala jika Pemilihan nombor Scans yang terlalu tinggi akan menghasilkan gambar yang terlalu berat (akan melambatkan perisian Fritzing kelak). Oleh itu saya akan memilih nombor yang paling minimum yang membolehkan gambar yang dihasilkan kelihatan memuaskan. Dalam contoh ini, saya memilih 30 sebagai tetapan Scans.

Setelah anda berpuas hati dengan gambar yang dihasilkan oleh butang Update, and boleh meneruskan dengan menekan butang OK bagi membawa gambar vektor dari Trace Bitmap ke paparan utama Inkscape.

Selepas menekan butang OK, pada tetingkap XML Editor, gambar vector <svg:g id=”gXX”> akan kelihatan di bawah gambar asal <svg:image id=”imageXX”>.

Gambar asal tidak lagi diperlukan, hapuskan gambar asal dengan memilih <svg:image id=”imageXX”> dan menekan Delete pada papan kekunci komputer anda. Hasilnya gambar vector <svg:g id=”gXX”> sahaja yang tinggal pada tetingkap XML Editor.

Seterusnya gambar vector akan melalui proses Scale yang akan dilakukan melalui tetingkap Transform. Di dalam proses ini, anda akan men skala kan gambar vektor anda kepada saiz sebenar komponen.

Dapatkan sama ada saiz panjang atau lebar komponen sebenar anda dalam ukuran mm. Kita hanya memerlukan salah satu sahaja sama ada panjang atau lebar. Pada contoh ini, saya memilih lebar komponen iaitu 20mm. Pada tetingkap Transform -> Scale, tetapkan unit ukuran pada mm.

Tandakan tetapan Scale proportionally, masukkan 20 pada tetapan Width, tekan butang Enter pada papan kekunci komputer anda, dan tekan butang Apply.

Perhatikan gambar model tersebut akan mengecil. Ia mengecil ke saiz berlebar 20mm dan tinggi lebih kurang 60mm.

Seterusnya kita akan sama kan saiz page dengan saiz gambar vektor, ini boleh dilakukan dengan menekan Edit -> Resize Page to Selection.

Perhatikan gambar page mengecil sama besar dengan gambar vektor.

Tekan butang zoom to fit drawing in window untuk memenuhkan gambar vektor pada paparan utama Inkscape.

Kembali kepada tetingkap XML Editor, kita akan memberi nama yang lebih bermakna kepada gambar vektor kita. Tekan pada gambar vektor <svg:g id=”gXX”> anda, tekan pada id, berikan nama yang lebih bermakna dan akhir sekali tekan butang Set. Di dalam contoh ini saya menukarkan g21 kepada Traffic_Light.

Seterunsya kecilkan group gambar vektor <svg:g id=”Traffic_Light”> dengan menekan butang “” dan Zoom In pada bahagian pin kaki model Traffic_Light untuk memulakan proses mewujudkan objek pin kaki model Traffic_Light iaitu sebanyak empat objek pin.

Pilih butang Create rectangles and squares, pilih warna yang bersesuaian dan akhirnya wana yang dipilih akan muncul di bahagian Fill Stroke.

Wujudkan satu rectangles di paparan utama Inkscape. Selepas objek rectangles dilukis, id baru akan muncul pada tetingkap XML Editor. Gunakan butang Select and transform objects untuk menggerakan objek yang baru dilukis tadi.

Susun objek yang dilukis tadi pada pin model Traffic_Light. Ulang langkah mewujudkan objek pin ini pada tiga lagi pin lain yang ada pada model Trafiic_Light.

Dengan menggunakan butang Create rectangles and squares, tukarkan semua saiz objek rectangles yang dibuat kepada saiz yang bersesuaian. Dalam contoh ini, saya menjadikan setiap objek kepada petak segi empat bersaiz 0.5mm. Teruskan dengan menyusun objek objek rectangles tersebut cantik cantik pada hujung pin serta menukar nama id pada setiap objek kepada nama yang lebih bermakna.

Siap sudah gambar vektor kita, simpan gambar tersebut kepada format vektor (.svg) dengan menekan butang File -> Save As…

Beri nama yang sesuai dan simpan gambar tersebut kepada format Plain SVG (*.svg).

>> Beralih ke perisian Fritzing <<

Selesai sudah proses meng edit gambar di perisian Inkscape, sekarang kita beralih ke perisian Fritzing. Buka paparan kosong pada perisian Fritzing, pergi ke tetingkap Parts -> Core -> Connector dan ambil komponen Generic Female Header dan tukarkan tetapan pins nya kepada 4. Ini kerana model Traffic_Light kita tadi mempunyai 4 pin.

Klik kanan pada tetikus anda di atas model Generic Female Header dan pilih Edit (new parts editor).

Satu paparan baru yang dipanggil Fritzing Parts Editor akan keluar, masukkan gambar vektor model Traffic_Light anda dengan menekan butang Load image for view…

Pilih gambar vektor (.svg) model Traffic_Light tadi dan tekan Open.

Gambar model Generic Female Header tadi akan digantikan gambar model Traffic_Light anda.

Besarkan saiz gambar model Traffic_Light anda ke bahagian pin. Kita akan memulakan proses untuk menghubungkan pin pada tetingkap Connectors dengan objek pin pada gambar vektor.

Proses ini boleh dilakukan dengan memilih Select graphic pada tetingkap Connectors dan menghubungkan pada gambar vektor dengan menekan pin yang berkenaan. Hubungkan keempat empat pin pada tetingkap Connectors dengan keempat empat pin pada gambar vektor.

Siap sudah model Fritzing kita, simpan model Fritzing kita dengan menekan File -> Save as new part.

Berikan nama yang sesuai untuk model Fritzing anda. Dalam contoh ini, saya memberi nama Traffic_Light_Module.

Berbalik kepada paparan asal Fritzing anda tadi, perhatikan pada tetingkap Parts -> MINE sudah mempunyai model yang anda buat tadi.

Tarik dan letakkan model tersebut ke paparan utama Fritzing.

Sekarang kita akan membuat sedikit pengujian untuk memastikan pin pin yang kita hubungkan tadi berfungsi dengan baik. Buat sambungan wayar dari pin model Traffic_Light_Module anda ke model Generic Female Header.

Jika anda berjaya membuat keempat empat sambungan pin, ini bermakan model anda berjaya disiapkan. Masa untuk melakukan sambungan yang lebih rumit.

Akhirnya, siaplah lampu isyarat simpang empat kampung Telok Air Tawar. Kejap… Telok Air Tawar ada simpang empat ka? Dekat mana ya?

Teruskan pembacaan di Tutorial Asas Arduino dan Tutorial Asas Raspberry Pi.

Kunjungi sekarang kedai Arduino Pulau Pinang di

Nadi Eleczone Solutions
Lot 1667, Tingkat 1, Jalan Teluk Air Tawar, Taman Air Tawar Indah, 13050 Butterworth, Penang
019 – 249 3264

TINGGALKAN JAWAPAN BALAS ANDA

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini