Oleh Nadim dalam Tutorial MIT App Inventor

>> Terfikir untuk membuat aplikasi telefon pintar android ??? <<

Anda bukan seorang programmer atau seorang yang mahir menulis kod komputer? Atau anda seorang yang pernah mempunyai pengalaman menulis kod yang mudah mudah tetapi sudah lama berlalu 10 tahun yang lepas? Atau anda seorang guru sekolah menengah yang tidak mahir tentang semua ini? Atau anda adalah seorang ibu kepada dua anak kecil yang nakal, tidak mempunyai masa lapang yang terlalu banyak? Tapi yang pasti, menulis kod bukanlah menjadi keutamaan hidup anda.

>> Tetapi anda ingin belajar mereka cipta aplikasi telefon pintar android juga <<

Jika anda masih tidak tahu, di dunia maya kini terdapat satu platform yang agak mudah dan tidak terlalu intensif untuk difahami yang dikenali sebagai MIT App Inventor. App Inventor menggunakan bahasa pengaturcaraan atau kod berasaskan blok blok yang membolehkan anda membuat aplikasi dengan mudah untuk telefon pintar Android anda. App Inventor pada asalnya dicipta oleh GOOGLE tetapi kini diselenggara dan ditambah baikkan oleh MIT.

Membuat aplikasi telefon pintar bagus untuk dijadikan hobi masa lapang, membuat aplikasi telefon pintar bersama anak anak daripada dibiarkan mereka hanyut ke dalam dunia maya di depan telefon pintar tanpa arah tujuan. Kita boleh menarik minat budak budak kecil membina aplikasi mereka sendiri dengan mamasukkan watak Boboboy atau Upin Ipin ke dalam reka cipta aplikasi Android. MIT App Inverntor sangat sesuai untuk tujuan ini kerana sifatnya yang mudah digunakan.

>> app inventor, semudah Tarik dan letak <<

Dengan antara muka tarik dan letak yang ada pada App Inventor, anda boleh membina aplikasi mudah hanya dalam jangka masa kurang daripada satu jam. Bagi yang sudah mempunyai asas dalam menulis kod, anda mungkin teruja kerana terdapat banyak fungsi fungsi canggih lain untuk anda gunakan.

App Inventor pada asasnya terdiri daripada dua bahagian utama iaitu App Inventor Designer dan App Inventor Block Editor. Designer adalah tempat di mana anda mereka cipta bagaimana rupa muka depan aplikasi Android anda manakala Block Editor pula adalah di mana anda akan “menulis kod” secara visual dengan kaedah tarik dan letak blok bagi menentukan fungsi aplikasi Android anda. Selepas anda siap mereka cipta aplikasi Android, anda boleh memuat turun aplikasi tersebut ke telefon pintar Android anda dan lihat ianya beraksi secara langsung di hadapan anda.

>> Apa yang perlu anda ada untuk mereka cipta apps pertama anda <<

Cukup mudah untuk mula belajar App Inventor, apa yang anda perlukan adalah seperti berikut:

  • Komputer untuk menggunakan perisian MIT App Inventor di internet
  • Telefon pintar Android
  • Sambungan WIFI Internet
  • Aplikasi MIT AI2 Companion pada telefon pintar
  • Akaun GOOGLE

Sekali lagi, untuk menggunakan App Inventor anda tidak perlu menjadi seorang penulis kod yang profesional terlebih dahulu. Ini adalah kerana App Inventor bukannya perisian yang berasaskan penulisan kod yang kompleks tetapi ianya perisian mereka bentuk aplikasi Android secara visual. App Inventor menggunakan konsep blok bagi menentukan fungsi aplikasi yang anda reka.

Jom buat aplikasi Android pertama kita di App Inventor Jom Bina Aplikasi Telefon Pintar Pertama Anda

TINGGALKAN JAWAPAN BALAS ANDA

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini