Oleh Muhammad Ilyasaa dalam Tutorial Raspberry Pi

Anda mungkin pernah terdengar rakan rakan anda menyebut tentang Raspberry Pi atau ternampak di mana mana ketika sedang melayari internet, tetapi apakah sebenarnya Raspberry Pi ini? Adakah ianya adalah menu terbaru di kedai makanan Hipster? Apa yang boleh anda lakukan dengan Raspberry Pi ini? Sekiranya anda baru dalam dunia elektronik dan ingin mengenali tentang Raspberry Pi (tiada kena mengena dengan nam makanan mahupun resepi makanan), maka kami di sini akan menerangkan serba sedikit yang anda perlu tahu tentang Raspberry Pi.

Bagi anda yang pernah bermain dengan papan Arduino pula, mungkin anda tertanya tanya apakah perbezaan Arduino dengan Raspberry Pi. Bagi papan Arduino, dengan menggunakan komputer peribadi, pengguna atau penulis kod akan memuat naik kod ke papan Arduino. Selepas kod dimuat naik, papan Arduino tidak lagi memerlukan komputer peribadi untuk memproses input dan output, ia boleh berfungsi dengan sendirinya. Jawapan paling ringkas saya bagi para pengguna papan Arduino untuk menerangkan apa itu atau perbezaan papan Raspberry Pi dengan papan Arduino adalah seperti berikut, boleh dikatakan yang ….

>> papan raspberry pi adalah motherboard komputer <<

Secara ringkasnya begitu penerangannya. Papan utama (Motherboard) komputer tidak boleh berinteraksi dengan pengguna jika tidak disambunglan kepada paparan LCD, papan kekunci, tetikus dan memori bagi menyimpan OS (Operating System) seperti WINDOWS atau LINUX. Dengan kata lain, papan Raspberry Pi adalah sebuah komputer mini apabila telah disambungkan kepada paparan, papan kekunci, tetikus dan memori. Kenapa ianya disebut komputer mini dan bukan komputer sahaja? Ini kerana keupayaannya tidaklah sehebat komputer peribadi yang biasa kita gunakan sekarang di mana jauh lebih hebat jika dibandingkan dengan papan Raspberry Pi ini.

>> jom kita meneroka lebih mendalam tentang papan raspberry pi <<

Sekali lagi, papan Raspberry Pi adalah sebuah mini komputer, seperti yang ada di dalam komputer peribadi anda tetapi dengan keupayaan kuasa yang lebih rendah (berpatutan dengan harganya yang di bawah RM200). Tetapi secara amnya, papan Raspberry Pi direka untuk mempunyai keperluan atau komponen asas sebuah komputer sekali gus memberi akses pada para pereka cipta untuk mencipta pototaip projek atau komputer mini mereka sendiri.

Komponen komponen asas yang melengkapi papan Raspberry Pi ini adalah seperti cip pemproses, cip grafik, beberapa RAM, beberapa port USB, output HDMI, port Ethernet, dan WIFI serta Bluetooth. Kedengaran cukup seperti spesifikasi dan keperluan sebuah komputer, apa lagi yang anda mahukan? Seperti yang disebut sebelum ini, papan Raspberry Pi mempunyai keupayaan kuasa yang lebih rendah berpatutan dengan harganya yang murah, jadi anda tidak boleh menjalankan perisian atau memasang OS yang berat di dalamnya. Memadai anda menggunakan OS yang disyorkan oleh Raspberry Pi seperti RASPBIAN, UBUNTU, WINDOWS 10 IOT CORE dan banyak lagi pilihan lain.

Papan Raspberry Pi mula dicipta atau berasal dari United Kingdom sebagai inisiatif untuk mempromosikan serta menggalakkan pengajaran sains komputer dan kemahiran menulis kod. Papan Raspberry Pi generasi pertama muncul pada 2012 dan Papan Raspberry Pi 3 B+ yang terbaru boleh mula didapati pada Februari tahun ini yang lepas. Berjuta juta papan Raspberry Pi talah terjual setakat ini. Tidak seperti papan Arduino (open source software dan hardware), papan Raspberry Pi bukanlah open source hardware dan tidak membenarkan papan elektronik nya diklon oleh sesiapa tanpa pengiktirafan mereka. Kebanyakkan papan Raspberry Pi yang dijual adalah yang dikeluarkan oleh kilang kilang yang diiktiraf oleh Raspberry Pi, amat sukar atau tidak mungkin untuk menjumpai yang klon atau cetak rompak.

Disebabkan faktor harga yang rendah dan ciri ciri fleksibiliti, papan Raspberry Pi telah banyak membantu para peminat elektronik dan pereka cipta yang ingin membina projek interaktif mereka ke tahap yang lebih berteknologi khususnya ke arah IOT (Internet Of Things).

>> PROJEK Apa yang boleh anda lakukan dengan papan raspberry pi <<

Secara amnya, anda boleh menggunakan papan Raspberry Pi untuk melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan oleh komputer seperti menonton filem, menulis dokumen, bermain permainan komputer, dan sebagainya. Selain itu, ia juga mempunyai fungsi fungsi seperti Arduino di mana anda boleh membuat projek LED berkelip kelip, bermain dengan suis, menggerakkan motor, membaca tindak balas sensor sehingga ke projek yang lebih kompleks yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh papan Arduino seperti memantau data dari kenderaan anda secara langsung. Projek emulator permainan Game Boy di bawah merupakan contoh projek yang telah dibina menggunakan papan Raspberry Pi.

Sebagaimana Arduino, anda boleh menemui jutaan idea serta contoh projek di dunia maya bagi memudahkan proses pembelajaran Raspberry Pi anda. Kebanyakkan projek Raspberry Pi yang anda akan cari di laman sesawang mempunyai tutorial yang agak lengkap dan mudah diikuti.

>> bagaimana untuk mula mempelajari tentang raspberry pi <<

Membeli papan Raspberry Pi adalah permulaan yang betul. Kalau ada barang Raspberry Pi di hadapan kita, baru kita bersemangat untuk mendalami ilmu Raspberry Pi. Anda juga boleh memilih untuk membeli aksesori tambahan seperti paparan LCD, modul kamera serta bekalan kuasa luar.

Papan Raspberry Pi anda bukanlah kotak silap mata yang boleh melakukan sesuatu dengan sendirinya. Anda memerlukan sesuatu untuk berinteraksi dengan papan Raspberry Pi anda dan memerlukan sesuatu untuk melihat apa yang terjadi dalam papan Raspberry Pi anda, kebiasaanya pengguna akan menggunakan papan kekunci, tetikus, dan paparan LCD. Anda juga memerlukan bekalan kuasa luar 5V yang mencukupi (kebiasaanya 2A ke atas) bagi membekalkan kuasa kepada papan Raspberry Pi.

Ringkasnya, jika anda ingin mula menggunakan papan Raspberry Pi, anda memerlukan  bekalan kuasa luar 5V 2A, papan kekunci USB, tetikus USB dan monitor HDMI serta kad memori yang mempunyai OS (kad memori boleh diibaratkan seperti cakera keras yang terdapat dalam komputer peribadi kita). Nampaknya papan Raspberry Pi anda sudah cukup bersedia untuk dihidupkan. Apa lagi, jom kita hidupkan komputer mini kita dan lihat ianya beraksi.

>> Jom mulakan pengembaraan kita ke dunia komputer raspberry pi <<

TINGGALKAN JAWAPAN BALAS ANDA

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini